Monday, September 22, 2008

Kadang-kadang Kita Memang Ada Rasa Tak Puas Hati

Hari ini hingar bingar orang cerita tentang keadilan. Kalau kita melepak di mana-mana – stesen bas ke, pekan sahari ke hatta ke majlis kenduri cukur jambul sekalipun, cuba-cubalah pasang telinga. Anda pasti terdengar perkataan keadilan.

Tapi tentang keadilan ini bukan cerita baru. Lama sejak zaman tori lagi manusia sudah sibuk-sibuk tentang keadilan. Tak ada yang pelik pun. Kalau orang sebut perkataan keadilan dalam mesyuarat JKKK tak ada pun orang akan juih-juih bibir atau pandang ke lain masa tu. Tapi kalau Tok Khatib sedang baca khutbah Jumaat anda jerit, “keadilan!” sampai 20 kali memang kalau tak kena penampar pun makmum lain akan senget-senget pandang anda.

Memang keadilan dan kesaksamaan harus dicari dan diletakkan di tempat yang betul. Tuhan itu sendiri pun Maha Adil sifatnya. Namun janganlah berharap sangat dengan keadilan manusia di dunia ini. Ia memang sukar untuk wujud. Malah tak akan pernah wujud secara mutlak. Mungkin ada. Tapi amat susah untuk ditegak dan dipelihara.

Anda tak percaya? Baiklah. Kita tunggu saja bila hampir tiba Hari Raya nanti. Masa tu memang ramai yang akan merasa dunia ini tidak adil. Malah mungkin kita juga antara manusia itu – yang bakal tertanya-tanya, terfikir-fikir atau tersuluh-suluh; di manakah keadilan dunia ini?

Entah-entah sekarang pun dah ada saudara mara kita yang rasa dunia ini memang tak adil langsung. Ye la, di saat-saat manusia lain ternganga-nganga menunggu bonus, kita tercangak-cangak cari alamat syarikat untuk hadir temuduga kerja. Kalau baru bergelar graduan tu tak apalah juga. Ini kalau setiap kali temuduga dapat sebiji bata, kumpul-kumpul dah boleh buat banglo apa cerita?

Bagi yang dah bekerja pula lain ceritanya. Orang lain pergi ofis boleh letak kaki atas meja. Guna jari sebatang saja tekan-tekan papan kekunci komputer. Silap-silap guna jari kaki saja, jari tangan kanan buat hisap rokok, tangan kiri korek-korek hidung. Tapi gaji tiga empat kali ganda kita. Yang kita pula dah la gaji ciput, jangan kata nak letak kaki atas meja, nak letak punggung atas tangga seminit saja dah kena kerah.

Itu di tempat kerja. Sekarang kita masuk ke rumah pula. Tak payahlah nak banding rumah kita dengan Datuk Yusuf Haslam pula. Banding dengan A Galak pun tak payah. Cari saja jiran sekampung. Nak mudah lagi jiran sebelah cukuplah. Lebih mudah. Mesti banyak yang kita mungkin tak puas hati. Jiran kita sibuk angkat sofa baru, kita sibuk angkut tikar mengkuang lama untuk basuh dan jemur. Jiran kita sibuk cat baru rumah dia, kita sibuk tampal-tampal dinding yang berlubang dengan surat khabar lama. Jiran kita sibuk gantung langsir baru, kita sibuk tutup pintu tingkap sebab tak sanggup nak tengok. Jadi di manakah keadilannya? Jawapan yang memuaskan mungkin tak ada. Namun cuba kita tanya dalam hati dan jawab sendiri. Tak perlulah tanya kuat-kuat. Nanti pelik pula orang lain.

Sebagai manusia biasa yang tak memahami konsekuensi dari setiap tindakan kita memang tak akan jumpa keadilan itu. Tapi pernahkah kita tanya, di masa-masa rakan sekerja kita tu berulang-alik ke perpustakaan ulangkaji pelajaran, kita berulang alik ke perpustakaan juga, tapi gunting buku dan curi buku. Dia saat orang lain sibuk kerja lebih masa, kita sibuk kerja lebih mulut. Di saat jiran kita sibuk melabur di tempat berfaedah, kita sibuk melebur ditempat tak berfaedah.

Tapi kalau kita bukan terdiri dari manusia yang tak sepertinya itu usahlah bersedih sangat juga. Kalau kita harapkan keadilan manusia dan dunia semata-mata memang susah nak jumpa. Tapi keadilan Tuhan itu tetap ada. Kasih sayang Tuhan tak terbatas. Kita teruskanlah kelangsungan hidup ini dengan rasa syukur.

Tentu saja Tuhan boleh jadikan semua manusia itu sama. Rupa dan tingkah laku sama. Sama-sesama samanya. Tak ada perbezaan hatta perbezaan jantina sekalipun. Boleh kalau Dia nak buat. Tapi tentu saja tak ‘seronok’!

Bayangkan kita semua sama. Lahir-lahir saja dah jadi raja. Kaya raya jangan cerita la. Beranak atas batu permata. Maklumlah raja katakan. Tapi tak pasal-pasal bapak kita yang bidankan kita. Ye la. Nenek kita pun permaisuri. Jiran kita pun raja. Hah, siapa nak jadi bidan?

Itu baru lahir. Dah banyak masalah. Belum lagi masuk tadika. Siapa la nak jadi cikgu tadika yang bergaji ciput tu. Nak makan nasi? Tak pasal-pasal kena tanam padi sendiri. Kalau sakit gigi cabut la sendiri. Tak adanya yang nak jadi doktor gigi dah.

Maka janganlah bersedih jika kita hanya penjual pisang goreng tepi jalan. Atau tukang sapu di lorong-lorong. Selagi kita tak engkar perintah Tuhan dan Rasul berbahagialah. Kita mungkin miskin harta tapi kaya jiwa. Kita mungkin dipandang mulia sangat tapi apalah ertinya pandangan dunia kalau Tuhan memalingkan wajah-Nya dari kita.

Mungkin kalau kita beria-ria sangat nak jadi Hakim kita akan jadi hakim yang senget sebelah. Kalau kita beria-ria sangat nak jadi Perdana menteri kita bakal jadi pemimpin yang korup. Kalau kita beria sangat nak jadi Model kita terpaksa jadi model seluar dalam.

Nah, bukankah di situ letaknya keagungan dan keadilan Tuhan yang menjadikan kita berbeza agama, bangsa, warna kulit dan bahasa. Miskin atau kaya, bersyukur dan peliharalah anugerah yang diberi-Nya tapi jangan pula menghina manusia lain pula. Semua adalah ujian dan tanggungjawab.

Tapi janganlah pula tiba-tiba sibuk-sibuk pergi buat sidang media canangkan satu dunia kita gembira nak mampus jadi orang miskin dengan pakai baju robak rabik tidur bawah jambatan. Memang nak kena gelak la tu kalau buat macam tu!

13 comments:

182 said...

senang cakap semua orang ada peranan masing-masing dalam masyarakat, kan..

Ojie said...

jgn banding dgn org lain..sbb hidup kita xpernah sama..

aku akn jadi skema bila komen dlm blog ini..

Wardrobe kita said...

Rezeki datangnya dari Allah..bersyukurlah dengan apa yang ada..dan Allah menjadikan sesuatu itu bersebab..

*aku pun akan jadi skema bila komen blog ni..ampun tuanku..

man_helang said...

erm...rezeki kita memanglah kita yg tentukan...usaha lebih dpt lebih...tp bagaimana jika rezeki itu sepatutnya rezek kita...tp disebabkan jln belakang pihak lwn...kita melepas...adakah kita hanya perlu mengucapkan tiada rezeki kita...tampa berusaha utk mengatasi salah laku lwn kita itu...jgn jd bodoh dgn mensempitkan pemikiran kita...kita harus bersyukur...namun dlm masa yg sama harus tahu...apakah erti bersyukur yg sebenarnya...jika ingin dibincangkan amatlah luas dan dlm erti kesyukuran yg sebenarnya...

Kikuri-hime said...

Rahimin,
Tahniah atas entry ni... Aku pun selalu percaya, Allah lah yg maha adil. Dan setiap kejadian kat muka bumi ni ada hikmahnya... Kadang2 aku yg tak nampak. Asyik merungut je... Sedar2 je dah terlambat... Ishhh!

Rahimin Idris said...

182,
betul la tu. kadang2 kita tak sedar. bila susah merungut. senang sikit lupa diri.

ojie,
perbandingan untuk sedarkan diri ok lagi rasanya. sebab tu ada pepatah cakap 'ukur baju dibadan sendiri'.

hahaha tak yah skima pun tak apa. blog ni ingat nak privacy je dulu. tapi tak apa la. mungkin boleh serius sikit. haha

qaseh,
rezeki dari keizinan tuhan. kdg2 usaha tak dpt. tapi klu redho, dia jadi ibadat. memang semua bersebab juga. sebab dan akibat. takdir pun ya la kan.

tak yah la skima pun. aku rasa nak buat privacy pulak blog ni kang haha

man helang,
betul man. kdg2 aku rasa agama dan kemiskinan ni macam cuba dimanipulasi pula. hak sama rata memang ada. tuhan memberi rezeki yang secukupnya. tapi sikap manusia yang pelik dan enggan berkongsi. bukankah tuhan dah berjanji setiap nyawa ada rezeki masing2?
kau tentu pernah baca teori malthus kan? jahat gila teori tu.

kikure-sen,
terima kasih.
memang tak ada keadilan paling mutlak selain keadilan tuhan.
sifat-sifat tuhan itu sendiri dah menggambarkannya.

Ami said...

Ni bagus ni. Nasib aku jumpa blog kamu. Cerita golongan kapitalis marhaenis mempergunakan golongan pekerja marhaen di Malaysia.

Sadiskan?

Tapi, itu simbiosis. tsk..

Rahimin Idris said...

ami,
terima kasih sebab ziarah. hidup memang mencabar bai!

Pok Li said...

Selamat Hari Raya. Penceritaan yang santai dan segar

S.YanaZ said...

Bro.,
bersyukur sentiasa...
Bg gua, asalkn bahagia...
dan definisi bahagia itupun terpulang pd masing-masing utk memaknakannya...

*SALAM LEBARAN 1429 & MAAF ZAHIR BATIN*

Rahimin Idris said...

pok li,
terima kasih.

s.yanaz,
salam kemaafan dari saya juga.

Don Balon said...

Perghh min..
ni first taing amber bukok blog mung hok se agi ning..
rugi aa dok folo dari awal!!!!!!!!!
superb!!

notakakidanmulut: Koi betul-betul maksudkannya, tak harap rojok ayanc Sudut.. hehe

Rahimin Idris said...

don balon,
haha aku malas nak promo blog ni. ni cuma tempat aku rasa nak membebel je. haha

aku tak pernah ada rasa nak berpolitik sebenarnya. setiap orang ada sumbangan masing2. pembankang dan kerajaan sama saja 'tujuannya'.